• Home  / 
  • Kewangan
  •  /  Perubahan BLR/BFR Bermula 2 Jan 2015 – Bank Negara Malaysia

Nak Join Online Business bermentor? Klik sini »

Perubahan BLR/BFR Bermula 2 Jan 2015 – Bank Negara Malaysia

By MrZamri / December 24, 2014
Bank Negara Malaysia - BLR/BFR ke BR

Khabar angin yang didengar dari laman sosial Facebook dan WHatsapp akhirnya menjadi kenyataan.

Belum ada maklumat terperinci tentang perubahan BLR/BFR ke BR atau Base Rate ini. Namun pelaksanaan Base Rate (BR) ini akan bermula pada 2 January 2015, tinggal seminggu sahaja untuk perlaksanaan. Berikut kenyataan Bank Negara Malaysia.

Bank Negara Malaysia - BLR/BFR ke BR

Bank Negara Malaysia – BLR/BFR ke BR

Rangka Kerja Kadar Rujukan Baharu

Bank Negara Malaysia hari ini mengumumkan bahawa berkuat kuasa 2 Januari 2015, Kadar Asas akan menggantikan Kadar Pinjaman Asas (base lending rate, BLR) sebagai kadar rujukan utama bagi pinjaman runcit kadar terapung.

Sejak pengenalan rangka kerja BLR pada tahun 1983, BLR telah menjadi kadar rujukan utama bagi pinjaman runcit kadar terapung di Malaysia. Sejak itu, penetapan dan pelaksanaan BLR telah berubah sejajar dengan pembangunan sektor kewangan. Walau bagaimanapun, sejak kebelakangan ini, BLR telah menjadi kurang relevan sebagai kadar rujukan bagi penentuan harga pinjaman, memandangkan kadar pinjaman bagi pinjaman runcit yang baharu ditawarkan pada diskaun yang lebih tinggi berbanding dengan BLR. BLR juga kurang telus, lantas menjadikannya sukar bagi pengguna untuk membuat keputusan berdasarkan maklumat yang mencukupi.

Rangka Kerja Kadar Rujukan Baharu bertujuan untuk menyediakan kadar rujukan yang lebih telus bagi membolehkan pengguna membuat pilihan terhadap banyak produk pinjaman yang ditawarkan oleh institusi kewangan. Kadar rujukan baharu ini juga akan menunjukkan dengan lebih jelas perubahan dalam kos yang disebabkan oleh dasar monetari dan keadaan pembiayaan pasaran, sambil pada masa yang sama menggalakkan disiplin dan kecekapan yang lebih tinggi dalam kalangan institusi kewangan berhubung dengan penentuan harga pinjaman produk pembiayaan runcit.

Kadar Asas akan ditentukan oleh tanda aras kos dana institusi kewangan dan Keperluan Rizab Berkanun (Statutory Reserve Requirement, SRR). Komponen lain dalam penentuan harga pinjaman seperti risiko kredit peminjam, premium risiko mudah tunai, kos operasi dan margin keuntungan  akan dicerminkan dalam spread yang melebihi Kadar Asas. Ini memberikan kejelasan yang lebih baik berhubung dengan faktor-faktor yang menjadi asas kepada perubahan dalam Kadar Asas. Ketelusan yang lebih tinggi ini seterusnya akan membolehkan pengguna membuat keputusan berdasarkan maklumat yang mencukupi. Di bawah struktur tambahan kos (cost-plus), spread akan sentiasa positif kerana tidak mungkin bagi institusi kewangan untuk menawarkan kadar pinjaman yang lebih rendah daripada  kadar rujukan. Institusi kewangan akan diberikan fleksibiliti untuk menentukan kadar tanda aras masing-masing. Kaitan yang kuat yang dijangkakan antara Kadar Asas, kadar faedah pasaran dan Kadar Dasar Semalaman (OPR) akan membantu pelarasan yang lebih menyeluruh terhadap pembayaran balik pinjaman runcit apabila kadar faedah pasaran diselaraskan mengikut kenaikan atau penurunan dalam OPR.

Kadar Asas akan digunakan untuk pinjaman runcit kadar terapung baharu dan pembiayaan semula pinjaman sedia ada yang diberikan sejak 2 Januari 2015. Selepas tarikh kuat kuasanya, pinjaman berasaskan BLR yang diambil sebelum tahun 2015 akan terus menjadi rujukan berbanding dengan BLR. Walau bagaimanapun, apabila sesebuah institusi kewangan membuat sebarang pelarasan terhadap Kadar Asas, pelarasan yang serupa juga akan dibuat terhadap BLR. Oleh yang demikian, institusi kewangan akan dikehendaki untuk memaparkan kedua-dua Kadar Asas dan BLR di kesemua cawangan dan laman sesawang mereka.

Peralihan kepada rangka kerja kadar rujukan baharu tidak akan mempunyai sebarang impak ke atas kadar pinjaman efektif yang dikenakan kepada peminjam runcit kerana ia ditentukan oleh pelbagai faktor, termasuk penilaian institusi kewangan terhadap kedudukan kredit seseorang peminjam, kadar pendanaan pasaran dan pertimbangan yang kompetitif. Juga penting ialah perubahan-perubahan ini bukan merupakan perubahan pendirian dasar monetari Bank.

 

Kredit: Bank Negara Malaysia

Kita tunggu ulasan lanjut dari bank-bank dan penasihat kewangan tentang Base Rate ini nanti. Yang pasti, mula 2 januari 2015, semua pinjaman baru dan refinance akan menggunakan term baru ini iaitu Base Rate (BR) atau kadar asas.

About the author

MrZamri

Click here to add a comment

Leave a comment:

CommentLuv badge